Apr 9, 2010

Macam-macam Hal

***
Hari ini hari terakhir saya berusia 18 tahun.
Ewah.
Perasan muda.
Tuzki Bunny Emoticon


Hehe, hari ini saya akhiri usia saya sekarang. Esok, umur baru. Kata kekasih, "New age should be a better self". Iyalah, selama ini tak
better sangat kot.


Apapun, setiap tahun hari lahir saya datang dahulu sebelum ahli keluarga yang lain. Dan selalunya hari lahir saya tidak disambut secara ekslusif. Kerana saya akan sambut dengan adik-beradik perempuan yang lain sekaligus.
Boring.
Dah sambut pun kira baik tahu?


Ini sebab abah dan arwah mak saya buat susunan yang hebat bagi tarikh kelahiran anak-anak perempuan mereka. Tiga orang semuanya, bulan April semuanya. Best, sebab semua saling ingat hari lahir setiap yang lain. Tak syok, sambutan tak ekslusif untuk diri sendiri.
Lagi-lagi mengeluh je.


Hakikatnya, saya rasa teruja sebab bukan senang nak dapat tiga beradik yang lahir selang empat atau lima tahun tapi tarikh kelahiran masing-masing hampir-hampir. Arwah mak kata "Tak plan pun!"


Kerana hari lahir yang dekat-dekat, kami adik-beradik suka bertanya pada arwah macam-macam. Arwah mak pun rajin bercerita hal-hal kelahiran kami. Memang macam-macam hal.


Saya memang kecil dan
tiny dari waktu lahir lagi, kata arwah. Dalam perut dulu, saya tak duduk diam. Berpusing macam-macam arah, bergerak ke sana sini, dijangkakan lahir songsang dan macam-macam hal lagi. Aktif bukan???


Akhirnya, saya tahu kembali ke pangkal jalan bila tiba waktu untuk keluar dari perut arwah mak. Saya dilahirkan secara normal. Tapi......................... tali pusat terbelit sakan di leher. Kata arwah mak lagi "Doktor tarik berkali-kali. Keluar-keluar je, muka budak dah biru."
Padahnya terlalu aktif. Nasib masih bayi, kalau sudah tahu berfikir mesti orang akan kata "Padan muka!"


Arwah mak juga ceritakan detik-detik kelahiran saya yang mana, kereta abah boleh rosak pula pagi tu. Sementara tunggu ambulans, abah belikan arwah mak karipap untuk sarapan. Sambil duduk-duduk di patio tunggu ambulans tu, mak kunyah karipap tak macam orang nak bersalin pun.


Hari ini, saya mengenang balik semua tu. Semua cerita arwah mak tentang saya waktu lahir dan sepanjang tempoh dibesarkan jadi lebih bermakna sekarang. Ini tahun pertama saya akan menyambut hari lahir tanpa arwah mak. Saya rindu nak salam tangan dan cium pipi mak macam yang selalu saya buat ketika dia masih ada.


Bonda, terima kasih kerana melahirkan saya. Dan membantu saya mengharungi hidup dalam tempoh yang lama.


Al-Fatihah buat satu-satunya bonda saya yang membolehkan saya melihat dunia dan semoga kita bertemu di akhirat.


p/s: Sekarang saya sudah faham kenapa karipap mak jadi rindu-rinduan saya.
Tapi tadi dalam cerita mak tak makan karipap yang dibuat sendiri. Apakah?


***

No comments:

Post a Comment