Jan 23, 2011

Selagi Belum Rasa

***

Salam semua.

Sudah makan semua?



Hari sudah lewat malam, mestilah kalian sudah makan bukan? Ini merepek namanya, Cik Ainn!

Hari ini hari Ahad. Boleh dikatakan dari pagi saya duduk melayan internet, sekejap-sekejap buka Facebook (Lazimlah, masyarakat zaman ini kan? Tak ada FB? Mungkin kalian masih dibawah umur, kerana itu belum layak membuka akaunnya. Hehe, gurau yah!), sekejap-sekejap periksa blog (Ini perasan, macam blog kau sangat glamor! Jangan berangan lebih-lebih, Cik Ainn!), sekejap-sekejap buka Twitter (walaupun akaun Twitter saya menyedihkan kerana tak berapa pintar menggunakannya. Sadis ini wanita!), sekejap-sekejap buka blog jualan (Ini tabiat saya yang paling patut dikasihani, bukan? Shopping pun malas? Sila menangis dengan bahu terhenjut-henjut.) dan............... sudah lewat malam, barulah datang mood mahu menulis di blog.

Kasihan blog ini..... Punya tuan yang sedikit hampir mahu jadi pemalas dan tetap juga tidak sedar diri, tetap mahu ada blog sendiri.

Hah sudah, saya memang gemar merepek bukan-bukan di sini. Lupakan perenggan-perenggan merepek di atas, saya mahu kongsi cerita lebih bermanfaat.


***


Kisah Ibu


Saya seorang anak kepada seorang ibu yang punya 5 orang anak. Saya seperti anak-anak biasa, rapat dengan ibu seadanya. Ibu ataupun Emak ataupun Mama ataupun Bonda saya dijemput Ilahi pada usia saya mencecah 25 tahun. Saya sudah dewasa ketika itu, saya tahu!

Namun saya masih dihambat rasa terkilan sehingga hari ini, kerana hal yang lazim berlaku pada anak-anak yang hilang orang tua, saya tidak sempat menabur bakti seperti yang sepatutnya. Saya baru mula menapak dalam alam pekerjaan pada masa itu, sedang gigih mencari aset, mengadaptasi alam pekerjaan dan menstabilkan akaun.

Saya cuma dapat pulang ke rumah dan menghabis masa berbual, berkongsi cerita dengan bonda. Tidak berkesempatan saya membawanya bersiar keluar bandar, pulang ke kampung halamannya di Muar, makan angin di Johor Bahru untuk bertemu keluarga Dewa Hati ataupun membawa melancong ke kawasan percutian. Tidak pernah sekali pun.

Semua cuma ada dalam rancangan, "Tahun depan.....", "Bila ada kereta nanti....", "Hari raya kali ini...." dan macam-macam lagi kata hati. Semua tak terlaksana kerana Allah sudah menunggu beliau pada masa yang dijanjikan. Kereta saya cuma sampai di tangan saya selepas 7 hari bonda tinggalkan dunia ini. Boleh tahu bukan apa rasanya? Abah juga menangis kerana dia juga teringin melihat arwah bonda merasai kereta baru saya.

Ini baru satu hal. Betapa waktu yang tepat Allah tentukan buat bonda saya menemuiNya sebenarnya menimbulkan sejuta rasa terkilan pada seluruh keluarga kami. Jika mahu dicerita hal terkilan setiap yang dialami setiap ahli keluarga, maka memang banyak. Juga, tanpa sebarang notis, saya akan mengalirkan air mata sambil menaip.

Jadi saya hanya mahu kongsi satu rasa terkilan di atas tentang kehilangan yang saya sendiri pernah alami.

Kata seorang rakan saya di sini, saya tabah pada hari pengebumian. Betul, saya tidak banyak mengalirkan air mata kecuali ketika jenazah sudah siap dikafankan. Bukan saya tidak punya rasa, tapi saya sedar bukan saya seorang sedang diselubung rasa sedih.



Kakak saya yang setiap hari menghabis masa bersama lebih terasa.


Adik bongsu yang menjaga arwah bonda dalam kebanyakan masa ketika arwah sakit lebih sedih.


Abah yang hidup ditemani arwah sejak lebih 30 tahun lebih perit menahan rasa.



Saya mahu mereka tabah, saya tidak menangis kerana saya tidak mahu mereka terus menangisi pemergian arwah bonda. Saya berusaha menenangkan mereka supaya mereka beringat yang arwah memerlukan doa-doa kami.

Dan saya juga bukan tabah sendiri, saya diberi kata-kata semangat oleh sahabat-sahabat yang tidak putus menghatar mesej pesanan ringkas, pelbagai ingatan yang mereka kongsikan. Dewa Hati tidak putus mengingatkan saya membaca surah Al-Fatihah tiap-tiap kali kali saya suarakan, "Sedihnya hati....," pada hari itu.

Hari ini lebih kurang 17 bulan selepas arwah tiada, saya sudah mula lali dengan kehidupan baru. Saya tiada seorang insan yang paling boleh berkongsi hampir semua masalah atau apapun cerita. Dia sudah jauh, bahkan lebih memerlukan saya dan adik-beradik lain mendoakan kesejahteraannya di kejauhan. Kadang hingga saya terfikir, adakah mungkin saya dapat menyentuhnya kembali. Hari saya kehilangannya di dunia ini adalah hari yang saya menyedari air mata bukan harus mengalir ikut sesuka rasa. Saya menyimpan air mata buat insan kedua yang saya cinta selepas bonda, ABAH.






"Pergi haji dengan suami, dapat rasa saat-saat romantik kembali."
Inilah antara kata-kata arwah Bonda pada kami adik-beradik masa baru pulang dari ibadah haji pada 2001. Namun, Abah terpaksa mengimbas semua kenangan bersama Bonda saya ketika beliau kembali ke tanah suci menunaikan umrah tahun lalu. *sob sob*







Kelak mungkin akan tiba waktu saya akan hilang Abah pula. Saya sedang bersedia, bukan menanti saat itu tiba, tetapi berfikir waras tentang kemungkinan yang bakal berlaku.


Allah itu ada, sentiasa.


Maka Allah akan melaksanakan janjiNya pada hamba-hambaNya, kita semua.

Tepat pada masanya, tetap rahsia waktunya, benar seperti yang ditakdirkanNya dan tiada usaha bakal dapat mengelak tanpa izinNya - semua akan dijemput Allah ke alam barzakh sebelum dihimpun menghadapNya di akhirat. Sebagai manusia yang punya asas agama, saya meyakini Allah walaupun saya tahu saya tidak pernah sempurna menjalankan suruhanNya.

.

.

.

.


Maaf jika entri saya di sini, kali ini, lebih berat (malahan lebih panjang) daripada biasa.

Saya melalui pengalaman penuh dugaan itu dengan hati yang terhiris dalam. Hati saya terlalu rapuh, setiap kali dilanda kepiluan akibat hal hidup saya sendiri, saya mudah benar melempar ingatan pada Bonda yang mana terus membuat saya murah air mata. Saya bangkit dengan sukar, sokongan semua orang yang berkaitan, saya ambil dan genggam dengan erat. Pesanan kenalan-kenalan dalam tempoh saya berkabung, saya jadikan penguat hati.


Dengan izin Yang Esa sahaja, saya sudah bertahan sehingga hari ini. InsyaAllah, moga ia terus kekal sehingga hari ketabahan saya diuji lagi.



***


  • Baru-baru ini, kenalan saya di pejabat kehilangan ayahanda tercintanya. Seperti kebiasaan manusia, kenalan saya dihambat rasa sedih diduga dengan kehilangan ini. Saya pernah merasai hal yang sama (lebih kurang okey, ibu atau ayah yang hilang, tetap sama, tak begitu?), saya mengharapkan beliau juga dianugerah Allah ketabahan yang tinggi menghadapinya. InsyaAllah.

  • Baru-baru ini juga seorang kenalan saya diduga dalam usahanya mencari rezeki. Mengenali kenalan ini, saya menganggapnya seorang yang jujur dan berterus-terang, dia adalah antara insan yang menjadi rujukan hal agama pada saya. Beliau juga antara penguat semangat yang berkongsi ikhtiar ketika bonda saya sedang dalam koma. Mungkin ketelusan beliau membuat orang mudah memasang prasangka. Beliau merehatkan diri dari dunia maya, tak mahu mudah dilihat perkembangan tugasnya selain mahu menenangkan hati sendiri. InsyaAllah, saya percaya jika niat dan jalan usahanya bersih, Allah sentiasa memberi petunjuk padanya. Saya cuma berdaya memberi semangat, selain mengharap usahanya membuah hasil yang setimpal dengan kerjaannya.

  • Baru-baru ini, seseorang yang saya hanya kenali hampir sejak setahun lalu berkongsi dugaan yang sedang dihadapinya. Beliau sedang mengahadapi ragam manusia yang sangat pelbagai. Nasihat saya cuma satu, 'jangan beci pada orangnya, benci sikapnya. Dan jika mereka di pihak salah, berharaplah supaya mereka berubah. Jika tidak, doalah agar diri sendiri diberi petunjuk.' Pesanan ini dilaung Puan Ainon Mohd dalam salah satu bengkelnya, saya ambil, simpan kemas-kemas, moga ada manfaat buat diri. Kenalan saya ini tidak hanya berkongsi cabaran yang sedang beliau hadapi, bahkan sempat berkongsi satu penyataan menarik untuk motivasi, iaitu 'Selalu kita diuji Allah dan kita persoal mengapa diuji sehebat itu. Sedangkan, kita harus bersyukur kerana Allah mengingati kita ini hambanya dan memberi ujian supaya kita lebih kuat.' InsyaAllah, saya juga akan simpan pesanan ini seumur hidup saya. Sangat bermakna.

  • Pada masa ini, saya berharap seorang insan yang saya kenali juga, agar beliau sudi meluang masa untuk memikir tentang pengorbanan, kata-kata dan semua hal berkaitan ibunya. Saya cuma mengagak, ibunya sedang dirundung sedih dengan nasib anaknya. Juga mungkin ibunya sedang mengharap anaknya itu dapat mengecap hidup yang senang walaupun hatinya sudah disakiti. Anaknya mungkin terlupa lagi kali ini, kerana leka dengan perjalanan hidup yang tak pasti. Yang saya mampu lakukan buat insan ini, cuma simpan harapan agar dalam masa terdekat beliau INGAT kembali dan diberi kesedaran untuk berfikir lebih jauh sementara ibunya masih bernafas di dunia. Mudah-mudahan.


***


Sekadar perkongsian umum, saya juga mahu melihat ibu-ibu dan ayah-ayah di dunia ini diberi layanan wajar oleh setiap anak-anak mereka. Saya pernah merasa terkilan yang teramat kerana tidak punya kesempatan, tidak menggunakan peluang, tidak bersungguh memberi keutamaan pada arwah Bonda saya. Walau bagaimana hubungan kalian dengan kedua orang tua, pastikan layanan diberi seperti yang disyariatkan agama. Maaf, saya bukan orang arif soal agama.

Buat yang sudi, pengalaman saya boleh dijadikan sebab supaya kalian mengutamakan ibu kalian daripada diri sendiri. Manusia..... (ya, ya, termasuklah saya), lazim terlupa menghargai sesuatu itu selagi ia ada di depan mata kita, maka selepas Allah mengambilnya kembali, barulah kita sedar yang kita sudah terlepas peluang-peluang yang pernah diberi.

Mari sama-sama saling mengingatkan atau berdoa pada Allah supaya kita sentiasa tidak lupa yang redha Allah memang tersedia jika kedua ibu bapa kita meredhai kita. InsyaAllah.



Dengan itu saya akhiri entri ini. (Maka bersoraklah pembaca yang tak berapa nak ramai kerana wanita pemilik blog ini sudah habis menceceh. Hahahaha~)




Selamat menyambut hari Isnin yang bakal menggoyah rasa, semangat dan jiwa bagi orang-orang yang bekerja. Mari mulakan minggu baru dengan tenaga yang hebat, semangat yang kental dan hati yang tenang. Hohohoho~ Sudah macam lawak parodi Dr. Fadzilah Kamtumi yang digayakan Johan Raja Lawak. Maaf, dihujung-hujung cerita serius, saya miang membuat jenaka seperti meminta tumbukan tepat di muka pula.


Maaf, maaf, maaf.



Semoga kalian di luar sana sentiasa diberi ketenangan dan perlindungan daripada Allah s.w.t.
Amin!
(^________^)

Toodles peeps!!!


***

No comments:

Post a Comment